Be pleasure to leave your linky..have a nice day!!

BFF

13 May 2011

Di antara DUA JALAN

Oleh Dr. Asming Yalawae

MANUSIA diciptakan Allah s.w.t. di atas muka bumi ini dibekalkan al-Quran al-Karim sebagai pedoman untuk memikul amanah sebagai khalifatullah. Atas zat dan sifat yang Maha Adil, Allah s.w.t. tetap memberikan pilihan dan kebebasan kepada manusia dengan memberikan dua jalan kepada manusia dalam menerusi kehidupan di dunia ini, iaitu jalan baik dan jalan buruk. Ini jelas dilihat daripada firman Allah s.w.t. dalam surah al-Balad ayat 10 yang bermaksud: "Dan kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, iaitu jalan baik dan jalan jahat."

Syeikh Ali al-Sabuni ketika mentafsirkan ayat ini menegaskan bahawa Allah s.w.t. berfirman: "Kami telah memberikan kepada manusia itu dua jalan, iaitu jalan baik dan jalan buruk, atau dalam kata lain, petunjuk atau kesesatan supaya mereka itu menjalani jalan yang dapat membawa kepada kebahagiaan dengan menjauhi jalan yang membawa kepada kecelakaan dan kemurkaan Allah s.w.t. Manusia itu sendirilah yang akan memilih dan menentukan jalan manakah yang akan menjalaninya."

Dengan ini jelas bahawa manusia sentiasa diuji oleh Allah s.w.t. dengan memberi dua jalan, iaitu jalan baik dan jalan buruk. Manusia perlu berhati-hati, berwaspada dan bersabar dalam mengikuti jalan yang benar. Kerana sedia maklum setiap perkara yang baik atau jalan yang benar sudah tentu diuji dengan bermacam-macam keburukan supaya pencapaiannya menjadi lebih berguna. Hal demikian menyebabkan manusia perlu kepada kesabaran yang berlipat ganda dalam menghadapi dan melalui segala keburukan yang menjadi ujian itu. Inilah menyebabkan manusia mempunyai darjat lebih tinggi berbanding malaikat. Seorang manusia yang taat dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t., kedudukannya dianggap lebih tinggi daripada malaikat. Bahkan mereka yang merupakan hamba yang diredhai Allah itu dapat memasuki dan menikmati syurga Firdaus bersama para nabi-nabi dan auliya' as-salihin di akhirat kelak.

Sedangkan malaikat pula, Allah s.w.t. tidak menciptakan nafsu bagi mereka. Dengan itu, malaikat tidak diuji oleh Allah s.w.t. dengan kejahatan dan keburukan. Mereka tidak perlu berlawan dan berjuang untuk mengikuti jalan yang benar seperti manusia. Bagi mereka semua, jalan adalah lurus dan betul belaka. Mereka sentiasa sujud dan rukuk kepada Allah s.w.t.. Mereka tidak pernah diuji dengan maksiat dan kejahatan. Justeru, mereka tetap beribadat kepada Allah s.w.t. hingga ke akhirat kelak.


Semua itu kedudukan mereka lebih rendah daripada manusia yang taat kepada Allah s.w.t. Kerana mereka tidak berjuang dalam mencapai kebaikan seperti manusia yang mana Allah s.w.t. memberikan manusia dua jalan, iaitu jalan baik dan jalan buruk.

Hamba Allah s.w.t. yang bijak sudah tentu akan memilih jalan yang baik, jalan yang dapat mencapaikan keelokan hubungan dengan Allah s.w.t. serta mendapat keredhaan daripada-Nya. Hamba Allah s.w.t. seperti inilah dikatakan hamba yang bijak, yang sentiasa mementingkan ibadat dalam kehidupannya. Bahkan menyedari bahawa manusia bukanlah dijadikan semata-mata untuk makan dan minum kemudian berseronok-seronok dengan dunia ini kemudian meninggal dunia, bahkan menyedari bahawa kehidupan di dunia sudah tentu mempunyai suatu tujuan di sebaliknya, iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t. menegaskan dengan jelas tujuan daripada menciptakan jin dan manusia seperti mana firman-Nya dalam surah az-Zariyat, ayat 56-58 yang bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahkan Aku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka, dan Aku juga tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan."

Daripada ayat ini jelas bahawa manusia hidupnya adalah untuk mengenali Allah s.w.t. dan beribadat kepada-Nya serta menjalankan tugas khalifah di muka bumi ini dengan sempurna.

Sebaliknya hamba Allah s.w.t. yang tidak bijak mengikuti jalan yang buruk atau jahat. Maka kehidupan mereka di dunia ini tidak mempunyai tujuan selain daripada makan dan minum, berfoya-foya serta berseronok dengan keseronokan dan kelalaian dunia, kemudian meninggal dunia. Kehidupan seperti ini tidak ubah seperti kehidupan binatang sebagaimana Allah s.w.t. menegaskan dalam surah Muhammad. ayat 12 yang bermaksud:

"Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang di dunia ini. Mereka makan seperti makannya binatang binatang. Binatang tidak memikirkan tentang apa apa sahaja dalam kehidupan ini, kerana binatang itu sendiri diciptakan Allah s.w.t. sebagai makhluk yang tidak mempunyai akal sama sekali. Bahkan kewujudan binatang di dunia ini ialah untuk berkhidmat kepada manusia."

Berkaitan ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi ada menegaskan: "Dikatakan orang yang bodoh itu hidupnya semata-mata untuk makan, manakala orang yang bijak pula makan untuk hidup, dan orang yang mukmin hidup adalah untuk beribadat kepada Allah s.w.t.

"Mereka yang mengikut jalan yang tidak betul atau buruk serta menyedari bahawa apa yang mereka lakukan ini adalah suatu keburukan atau kejahatan. Maka golongan ini sentiasa diberi peluang oleh Allah s.w.t. untuk kembali kepada-Nya dengan bertaubat dan memohon keampunan daripada-Nya. Golongan inilah dikatakan sebaik-baik hamba Allah s.w.t. Kerana tidak ada manusia yang sempurna, yang tidak sunyi daripada kesilapan dan dosa sama sekali. Bahkan Allah s.w.t. sedia menerima taubat hamba-Nya yang berdosa sama ada siang atau malam."

Namun yang amat berbahaya dan merisaukan ialah mereka yang melakukan kejahatan serta merasakan kejahatan atau kesesatan yang dilakukan itu adalah betul, tidak berasa perbuatan itu salah atau ditegah oleh Allah s.w.t.. Hal ini dapat dilihat daripada firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 11-12 yang bermaksud:

"Dan apabila dikatakan kepada mereka. Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi ini. Mereka menjawab: Sesungguhnya kami melakukan kebaikan (tidak melakukan kerosakan atau kefasadan). Dan ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan atau fasad tetapi mereka tidak sedar."

Syeikh Ali as-Sabuni mentafsir ayat ini sebagai mana menegaskan:

"Iaitu mereka itu berkata: Kami tidak melakukan kefasadan sama sekali bahkan kami golongan manusia yang melakukan kebaikan, kami sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan pembaikan, tidak patut mereka mengatakan kepada kami melakukan kefasadan."

Kata Ibnu Mas'ud yang dimaksudkan dengan fasad itu adalah kufur serta melakukan maksiat. Maka sesiapa yang menderhaka kepada Allah s.w.t. bererti sudah melakukan fasad di muka bumi Allah s.w.t. ini. Kerana bertolak dari penderhakaannya terhadap Allah s.w.t. maka sudah tentu mereka sanggup melakukan apa sahaja yang dilarangkan oleh Allah s.w.t. sehingga tersebarnya kefasadan sama ada di laut dan di darat. Ini terbukti daripada firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia."

Bagaimanapun, golongan yang melakukan maksiat dengan tidak merasakan apa yang mereka lakukan itu adalah maksiat, maka ini adalah suatu sekatan Allah s.w.t. daripada hidayatnya atau tudungannya yang disebabkan oleh kelemahan iman mereka terhadap Allah s.w.t. dan penderhakaannya terhadap-Nya. Dengan penderhakaan mereka terhadap Allah s.w.t. itulah mendorong mereka melakukan berbagai-bagai maksiat. Maka dikatakan kepada mereka, ini adalah hati sakit.

Kata al-Baidhawi: "Mereka itu dinampak oleh Allah s.w.t. kejahatan yang mereka lakukan suatu kebaikan, kerana hati mereka dilanda oleh kesakitan. Sebagaimana Allah s.w.t. berfirman kepada mereka dalam surah Fatir. ayat 8 yang bermaksud: "Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik."

Allah s.w.t. memperingatkan tentang kefasadan yang mereka lakukan melalui firmannya dalam surah al-Baqarah ayat 12 yang bermaksud:

"Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang benar membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar."

Syeikh Ali as-Sabuni ketika mentafsirkan ayat ini berkata lagi: "Hendaklah kamu ingat wahai manusia. sesungguhnya mereka itulah yang benar-benar melakukan kerosakan tanpa yang lain, tetapi mereka itu tidak bijak bahkan tidak menyedari bahawa ia adalah kejahatan kerana kehilangan cahaya iman dalam hati mereka. Tidak lagi mendapat hidayat atau pertunjuk daripada Allah s.w.t. Bahkan kehidupan mereka sentiasa berada dalam kesesatan dan kegelapan yang tidak dibimbing oleh Allah s.w.t. lagi."

Inilah suatu penyakit yang mana Allah s.w.t. menegaskan mengenainya dalam surah al-Baqarah ayat 10 yang bermaksud:

"Jika dalam hati mereka ada penyakit, Allah s.w.t. menambahkan lagi penyakit mereka."

Kata as-Syeikh Ali as-Sabuni: "Iaitu jika dalam hati mereka ada perasaan syak nifak maka Allah s.w.t. menambahkan lagi penyakit itu, bahkan menambahkan kesesatan demi kesesatan."

Ibnu Aslam juga ada menegaskan: "Adapun penyakit yang disebutkan di sini ialah penyakit pada agama, ia bukan penyakit pada jasad, iaitu syak atau waswas terhadap pemelukan mereka terhadap agama Islam, maka Allah s.w.t. menambahkan lagi keraguan dan syak dan wasangka mereka. Dan mereka inilah Allah s.w.t. akan menyeksakan dengan azab yang pedih dengan sebab pembohongan mereka terhadap keimanan dan kebenarannya serta mempersendakan ayat Allah s.w.t. Bahkan mereka tidak menyedari diri bahawa mereka melakukan kejahatan atau kesesatan untuk mereka kembali semula ke pangkal jalan dengan bertaubat, dan membersihkan diri daripada dosa-dosa tersebut sebelum datangnya ajal bahkan memohon kepada Allah s.w.t. supaya menggantikan kerugian mereka di dunia dan di akhirat dengan kebaikan. Sungguh ruginya kehidupan seperti ini. Adakah kita akan dapat menjalani jalan kebenaran tanpa hidayat daripada Allah s.w.t.?"

Justeru, berusahalah mencari jalan untuk mencapai hidayah Allah s.w.t. Hidayah Allah s.w.t. sahajalah yang mampu membimbing manusia ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Kerana ia diibaratkan lampu yang dapat menerangi kegelapan menjadi sinaran dan bercahaya. Beruntunglah manusia yang mana hidupnya penuh dengan kesinaran dan cahaya hidayah daripada Allah s.w.t.

Ya Allah, berikanlah hidayat kepada kami seperti mana Kamu telah memberikannya kepada mereka yang sebelum kami. Amin.

Sumber: Al-Islam, Februari 2007
www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment

setitikkasihseikhlascintaku

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers