KEHIDUPAN zaman ini sentiasa mengajar kita mengejar masa. Bagi pasangan suami isteri yang bekerja pastinya waktu bersama amat sedikit dan terhad kerana banyak waktu dihabiskan di pejabat dan urusan kerja yang tidak habis-habis.
Pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan kerana tugas dan tanggungjawab selalunya melupakan peristiwa penting atau saat yang istimewa. Banyak alasan yang diberi dan menjadi penghalang .
Berjauhan kerana tuntutan pekerjaan atau pendidikan bukan bermakna anda tidak boleh berbuat apa-apa.
Kata orang 'jauh di mata dekat di hati'. Inilah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan rumah tangga jarak jauh.
Menjaga sebuah rumah tangga memerlukan usaha yang berterusan lebih-lebih lagi bila pasangan itu terpaksa berjauhan.
Bayangkan seorang bertugas nun jauh di utara tanah air sedangkan si dia pula di selatan.
Mengatur janji temu dengan komitmen yang banyak sedangkan pada masa sama, rindu terhadap si suami atau si isteri meluap-luap, pastinya hati tidak keruan dibuatnya.
Keadaan ini yang dipanggil weekend husband atau weekend wife bukan istilah yang janggal pada zaman kini
Berbeza dengan zaman ibu bapa kita dahulu, biasanya cuma suami yang bekerja. Si isteri tinggal di rumah dan menguruskan anak-anak dan rumahtangga.
Jarang benar kedengaran suami yang pulang hujung minggu menjenguk anak isteri, kecualilah kalau bersuamikan askar atau kelasi kapal. Tetapi itu semua sudah berlalu.
Kini, dengan tahap pendidikan yang tinggi, tidak ramai kaum isteri yang mahu terperuk di dapur rumah. Mereka inginkan kerjaya yang hebat, kehidupan yang selesa dan taraf hidup yang tinggi
Namun semuanya itu menuntut pengorbanan dengan harga yang cukup mahal - berjauhan dengan pasangan hidup.
Kesunyian dan kesepian pasti akan menyelubungi diri kita. Namun ada banyak cara untuk menghadirkan diri pasangan dalam kehidupan seharian kita.
Bagaimana untuk memelihara dan mengekalkan hubungan jarak jauh yang dilalui?
Pelbagai perasaan yang merunsingkan, menyedihkan dan memeningkan apabila berada dalam situasi cinta jarak jauh ini.
Berpindah tempat kerja berhampiran dengan si dia ialah jalan terbaik, tetapi biasanya ia di luar kawalan kita.
Malah dalam buku bertajuk Cinta dan Kebahagiaan Rumahtangga hasil tulisan Richard Templer ada menyatakan bahawa dalam situasi sedemikian haruslah mencari bahagia sendiri.
Manusia mestilah bahagia dengan diri sendiri, sebelum dapat membahagiakan orang lain.
Sebenarnya tinggal berjauhan boleh memberikan kebahagiaan sekiranya setiap pasangan saling berkorban antara satu sama lain.
Masing-masing juga perlu memberi sokongan antara satu sama laim demi masa depan keluarga.
Kepercayaan antara suami isteri juga penting. Ia merupakan satu kewajipan yang amat penting dalam memelihara hubungan jarak jauh.
Percayalah pada diri sendiri bahawa boleh mengatasi masalah keluarga dan percayalah bahawa pasangan tetap menjaga dirinya.
Tanpa kepercayaan yang kuat semuanya boleh hancur. Mungkin ketakutan muncul apabila anda memikirkan pasangan akan berlaku curang apabila tinggal berjauhan.
Usah risau, sebaliknya berfikirlah secara positif bahawa pasangan anda mempunyai perasaan yang sama dan kerinduan yang sama.
Kalau sentiasa berfikiran negatif dan buruk sangka ini akan merugikan dan menjadikan diri tertekan.
Selain itu sibukkan diri. Ia boleh membantu mengurangkan kesunyian. Cari aktiviti yang sesuai dengan diri anda untuk dilakukan supaya waktu yang terluang terisi.
Meskipun berjauhan, kita perlu bijak membahagikan waktu dan masa untuk berkomunikasi dan berhubung seperti melalui telefon, emel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.
Tetapi janganlah terlalu kerap menghubungi sehingga pasangan berasa terganggu dan tidak dipercayai.
Oleh itu batasi hubungan agar rasa rindu tetap terpelihara dengan baik.
Selain itu, agar hubungan tetap terpelihara libatkan anak dalam berkomunikasi kerana anak adalah antara faktor pengikat suatu hubungan.
Ini juga dapat mengingatkan pasangan bahawa dia mempunyai keluarga yang memerlukannya.
Misalnya, ketika menelefon berilah peluang si kecil untuk berbual dan mendengar suara ibu atau ayahnya.
Selain itu, jangan jadikan jauh itu sebagai alasan. Cinta perlukan komitmen. Cinta juga adalah tanggungjawab. Walaupun jauh, cuba cari masa untuk berjumpa dengan si dia.
Andai kata si suami duduk jauh di selatan misalnya manakala si isteri pula tinggal jauh di pantai timur, cuba cari masa yang sesuai untuk berjumpa dan bercuti.
Paling tidak pun apabila ada cuti panjang menjelang. Janganlah tidak berjumpa langsung. Sudah pasti rindu di hati akan semakin memberontak apabila berjauhan.
Jadi, apabila ada kelapangan, rancanglah untuk berjumpa. Sudah pasti ini akan mengeratkan lagi hubungan dan dapat mengurangkan rasa rindu.
Tidak dinafikan cinta jarak jauh memang sukar. Hati memang meronta-ronta bila mana rindu itu datang.
Apabila keseorangan, sudah pasti kita akan terasa sangat kerinduan.
Tetapi ingatlah, jangan jadikan jarak yang jauh itu sebagai pemusnah cinta.
Jadikan ia sebagai satu cabaran yang akan memberikan kita lebih bersemangat untuk meneruskan cinta.
Apapun rintangan yang ada, jangan jadikan ia sebagai alasan dan penghalang.
Tetapi jadikan ia sebagai sesuatu yang dapat menambahkan kasih sayang kita kepada si dia.
Apabila jauh, anda akan merasa rindu bukan? Jadi jauh itu bukan satu perkara yang tidak baik. Cuma ia salah satu cara untuk memupuk rasa kasih sayang dan mengajar untuk menjadi seorang kekasih yang setia.
Ramai orang tahu apa makna 'putus kasih' dalam perhubungan. Ada di kalangan anda yang pernah berpisah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu.
Semuanya dirasakan seakan hidup ini tidak bermakna. Berjurai air mata dan pelbagai memori indah saat bersama dengan pasangan hadir dalam minda waktu itu.
Tetapi semuanya tidak berguna lagi kerana ketika itu dia bukan lagi pasangan kita.
Sebab itu, jangan lupa untuk mendoakan pasangan anda selepas solat kerana Allah yang menentukan segala-galanya.
Oleh ZUHAYATI YAZID
No comments:
Post a Comment